Ahad, 30 Mac 2014

MH 370 ...Hanya Dia ...

Mac 14,
Lena tidur terganggu dengan berita tu
kau ke mana dan mengapa
Air mata risau, bimbang, rindu, resah
mengalir deras tanpa diminta



Air mata seorang ibu mengalir laju
membasahi telekung putih 
tempat sujud kepada
Dia Yang Maha Mengetahui
Ya Allah...di mana anakku
Ya Allah...pulangkan anakku
Andai dia masih punya nafas...
pulangkan padaku
Andai Kau lebih menyayanginya..
 tunjukkan padaku

Sendu tangis seorang isteri penuh harapan
mengharap pulang sang rajuna hati
Dalam doa yang panjang mengharapkan
Sidia pulang

Ratap rindu seorang anak
mengharap pulang si ayah tersayang
Menadah tangan kepadaNya
Ya Allah di mana ayahku
Ya Allah Pulangkan dia kepadaku
Aku ingin memeluknya
Aku ingin menyayanginya

MH 370
Hari-hari yang dilalui tanpamu
meresahkan hati setiap warga tanah ini
Hati warga berkata-kata sendiri
Ke mana kau
Mengapa kau menghilangkan diri bersama insan yang kami sayangi
Bila kita akan berjumpa lagi

MH 370
Apakah hikmah disebalik semua ini
Betapa canggih ciptaan manusia tidak mampu menjejakimu
Betapa kuat usaha manusia tidak mampu mencari mu
Hanya Dia...
Hanya Dia Maha Mengetahui segalanya
Hanya Dia Maha Berkuasa menunjukkan segalanya
Tanpa izinNya ......
KepadaNya kita meminta
Jika di langit turunkanlah
jika di laut timbulkanah
jika di bumi tunjukkanlah

MH 370....
Kini
Ayat-ayat suci berkumandang meriah mengharap pertolonganNya
Masjid surau meriah dengan solat hajat terhadapNya
Kasih bertaut sesama warga mengharap pulangmu
Tangan-tangan berjabat sokong menyokong
Bahu membahu memikul rasa mencari mu

MH 370....
Pulanglah, timbullah, turunlah, keluarlah  dari ceruk mana adamu
Demi seorang ibu, ayah, isteri, suami , anak serta adik kakak
Dengan izinNya...




Sabtu, 29 Mac 2014

DIA YANG MAHA PENYAYANG

بسم الله الرحمن الرحيم

( DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA PENYAYANG)

Dalam perjalanan hidup yang panjang yang entah bila dan di mana akan berakhir sering kali kita terjatuh bila tersepak, terluka dan terguris rasa. Adakalanya kita rasa terlalu sepi dan terpinggir. Terkadang kita rasa kita tidak dihargai setelah kita berusaha sedaya upaya melakukan yang terbaik untuk seseorang yang kita rasakan sangat penting dan bermakna dalam hidup kita. Namun adakah kita dihargai ?

Adakalanya kita hanya dicari dan diingati bila khidmat dan bantuan kita diperlukan. Bila semuanya kita selesaikan kita dipinggirkan begitu sahaja. Kecewakah kita ? .Jawapannya pasti ya.

Dalam memburu kasih sayang manusia kita sering lupa bahawa semua itu tidak membawa apa-apa makna sebenarnya. Mengapa mesti kita buru kasih manusia yang tidak seberapa sedangkan ada kasih dan sayang dari Yang Maha Penyayang yang tidak terbatas buat kita.

Dia menyayangi kita tanpa batas dan syarat tanpa mengira apa balasan kita terhadapNya. Dia sentiasa ada disaat kita memerlukan. Dia sentiasa memberi segala yang kita perlukan.

Dalam tidur dan jaga kita, Dia sentiasa bersama. Jadi mengapa mesti kita mencari kasih manusia sedangkan kasih Dia yang abadi perlu kita kejari.